UNIT KOKURIKULUM SMKPT

UNIT KOKURIKULUM SMKPT
MELAKA

Wednesday 26 December 2012

DASAR DAN PETUNJUK PELAKSANAAN KOKURIKULUM DI SEKOLAH


DASAR DAN PETUNJUK
PELAKSANAAN KOKURIKULUM DI SEKOLAH

Warta Kerajaan bertarikh, 28hb. Disember, 1967, No. 5652 (Peraturak Kursus Pengajian) Sekolah 1956, mendefinisikan kokurikulum sebagai kegiatan kumpulan manakala Warta Kerajaan bertarikh 31hb. Disember 1997, Jld. 41, No. 26, Tambahan N0.94, Perundangan A.P.U. (A) 531, Akta Pendidkan 1996, Peraturan-Peraturan (Kurikulum Kebangsaan) mendefinisikan kokurikulum seperti yang berikut:
“Kegiatan kokurikulum” ertinya apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah yang memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah.”
JENIS-JENIS AKTIVITI

Berdasarkan Warta Kerajaan bertarikh 21hb. Mei, 1998, Jilid 42.No.11 Tambahan No.41 Perundangan P.U(A)196, pihak sekolah boleh menubuhkan persatuan sekolah daripada kategori yang berikut:
1.         Mata pelajaran yang diajar di sekolah sebagaimana yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997;
2.         Hobi dan rekreasi;
3.         Sukan dan Permainan;
4.         Badan beruniform; atau
5.         Apa-apa persatuan lain yang diluluskan oleh pendaftar.

PERUNTUKAN MASA

Warta Kerajaan bertarikh 28hb. Disember, 1967, Jilid 11, Bil.27, No.5652 telah membuat ketetapan pembahagian masa untuk kokurikulum seperti yang berikut:
SEKOLAH MENENGAH
Tingkatan
Aliran
Peruntukan Masa
Peralihan, 1-3

180 minit
4 dan 5
Sastera
180 minit
Sains
180 minit
Teknik
100 minit
Pertanian
140 minit
Perdagangan
180 minit
SRT
180 minit
6

180 minit

SEKOLAH RENDAH
Tahun
Peruntukan Masa
3 dan 4
60 minit
5 dan 6
120 minit


DASAR UTAMA PELAKSANAAN
1.         Kegiatan kokurikulum ialah sebahagian daripada kurikulum kebangsaan.
“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan”.

Implikasinya:
(a)        Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di semua sekolah adalah wajib.
            [Seksyen 18, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)]
(b)        Keengganan melaksanakan kegiatan kokurikulum ialah suatu kesalahan yang jika disabitkan boleh dijatuhi hukuman denda atau penjara atau pun kedua-duanya sekali di bawah Penalti Am.
(Seksyen 135 Akta Pendidikan 1996)
(c)        Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah Akta 550 yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata, boleh apabila disabitkan, denda tidak melebihi RM5000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.
(d)        Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah 550 ini boleh, dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda harian yang tidak melebihi RM500.00 sebagai tambahan kepada apa-apa penalti lain yang boleh dikenakan kepadanya di bawah Akta 550 ini berkenaan dengan kesalahan itu, bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan.
2.         Penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib. “Matlamat gerakerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan setiap orang pelajar. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerakerja pakaian seragam, satu kegiatan persatuan atau kelab atau satu kegiatan sukan atau permainan.”
(Perkara 5.1 SPI Bil 1/1985 Jawatankuasa Bimbingan Pelajar Sekolah)

Implikasinya:
(a)        Sekolah mewujudkan peluang yang seluas-luasnya kepada murid menyertai kegiatan kokurikulum yang diminati oleh mereka.
{Untuk tujuan ini pengetua/guru besar telah diperuntukkan kuasa untuk menubuhkan kelab/persatuan sekolah seperti dalam Peraturan4 Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Sekolah) 1998 yang diterbitkan sebagai PU(A) 196/98}.
(b)        Penyertaan, kehadiran dan pencapaian murid dalam kegiatan kokurikulum hendaklah direkod dan diberi penilaian.
(Hal ini ditegaskan dalam Perkara 8.2.1 SPI Bil. 1/1985 Jawatankuasa Bimbingan Pelajar Sekolah dan Perkara 2.1 SPI Bil 2/1986 Rekod Kedatangan dan Laporan Gerak Kerja Ko-Kurikulum Pelajar)
(c)        Ketidakhadiran murid dalam kegiatan kokurikulum yang murid itu telah mendaftarkan diri untuk menyertainya ialah suatu kesalahan yang menyebabkan murid tersebut boleh dikenakan tindakan disiplin jika disabitkan bersalah, seperti tindakan ke atas kesalahan ponteng sekolah atau ponteng kelas.
(Hal ini hendaklah dimaktubkan dalam Buku Undang-Undang dan Peraturan Sekolah dan perlu diketahui oleh murid-murid dan ibu bapa mereka).
3.         Penyertaan semua guru sebagai penjawat awam dalam mengurus, menyelia dan mengelola kegiatan kokurikulum di sekolah adalah wajib.
“Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan gerakerja kokurikulum di sekolah.”
(Perkara 5.2 dalam SPI Bil 1/1985-Penubuhan Jawatankuasa Bimbingan Pelajar              Sekolah)

Implikasinya:
(a)        Setiap guru di sekolah hendaklah, secara bertulis, diberi tugas dan tanggungjawab yang spesifik, terperinci dan kuantitatif dalam bidang kokurikulum di sekolah, seperti yang dilakukan dalam bidang kurikulum.
(b)        Keengganan guru melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diperuntukan adalah suatu kesalahan daripada segi keperluan perkhidmatan atau kepatuhan dan kebertanggungjawaban penjawat awam ataupun moral dan wibawa keguruan yang boleh dikenakan tindakan disiplin mengikut “Perintah-perintah Am Pegawai Awam {Kelakuan dan Tatatertib(BabD)}
4.         “Kegiatan kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah hendaklah merupakan apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah yang memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah”
{Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan)1997}

Implikasinya:
(a)        Setiap aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan hendaklah dirancang dengan maksud mempunyai matlamat, objektif, kaedah pelaksanaan dan kurikulum kegiatan serta skema penilaian yang pragmatis dan progresif.
(b)        Setiap aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan hendaklah mengandungi elemen-elemen pengetahuan, pengalaman dan kemahiran baharu serta nilai-nilai murni yang membantu murid membangunkan intelek, jasmani, emosi dan rohani secara seimbang.
5.         Pelaksanaan aktiviti kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada unsur diskriminasi atau paksaan tetapi memfokus kepada peningkatan perpaduan dan integrasi dalam kalangan murid.

Implikasinya:
(a)  Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah hendaklah bersifat merentas disiplin, bersepadu dan tidak bersifat eksklusif. Penyertaan terbuka kepada semua murid.

DASAR-DASAR SOKONGAN
1.      “Sekolah-sekolah khususnya yang kurang kemudahan untuk gerakerja kokurikulum ini hendaklah mengalakkan pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat, bergotong-royong memperbaiki kawasan sekolah, gerakerja-gerakerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian.”
{Perkara 5.3 SPI Bil 1/1985-Penubuhan Jawatankuasa Bimbingan Pelajar Sekolah}

2.      Kegiatan kokurukulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan penglibatan dan penyertaan anggota masyarakat setempat.
(Rujuk Subperkara 4.2.1 & Subperkara 5.2 dalam SPI Bil 4/1985-Penubuhan Jawatankuasa Sekolah sebagai Institusi Masyarakat)

3.      “Kementerian Pelajaran amat menggalakkan murid bergiat dalam kegiatan pasukan pakaian seragam yang terdapat di sekolah-sekolah. Selaras dengan dasar tersebut, guru dan murid juga dibenarkan menyertai aktiviti seperti perkhemahan, perbarisan dan kursus yang dianjurkan dari semasa ke semasa oleh agensi-agensi kerajaan atau oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan yang berdaftar”
(SPI Bil 24/1998-Penglibatan Guru dan Murid Dalam Aktiviti Pakaian Seragam Agensi Kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan)

4.      “Kementerian Pelajaran membenarkan pihak sekolah menganjurkan program lawatan pendidikan murid semasa waktu persekolahan secara terancang. Kementerian juga menggalakkan penglibatan ibu bapa yang berminat untuk menyertai lawatan-lawatan tersebut”
(SPI Bil 12/2000- Lawatan Pendidikan Murid di Hari Persekolahan)

5.      “Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara, Kementerian Pelajaran ingin menegaskan bahawa murid di sekolah perlu diberi ruang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani”.
(SPI Bil 18/2000-Penggalakan aktivit Fotografi di Kalangan Murid Sekolah)

6.      “Sekolah hendaklah memberi penghargaan kepada guru dan pelajar-pelajar atau orang perseorangan (atas penyertaan, penglibatan dan pencapaian masing-masing dalam bidang kokurikulum di sekolah). Penghargaan tidak hanya terbatas kepada kejayaan/kemenangan semata-mata, tetapi hendaklah juga diberi kepada pelajar-pelajar yang menpunyai sifat disiplin yang baik.”
(Subperkara 8.2.4 SPI Bil 1/1985-Penubuhan Jawatankuasa Bimbingan Pelajar Sekolah)

7.      Sekolah mewujudkan peluang kepada murid mengembangkan bakat dan potensi diri masing-masing dalam bidang kokurikulum yang diminati oleh mereka ke peringkat yang lebih tinggi sehingggalah ke peringkat antarabangsa. Murid juga sebaik-baiknya diberi peluang memperagakan bakat dan kecemerlangan masing-masing kepada masyarakat awam.

INDIKATOR KEBERKESANAN PELAKSANAAN
1.    Visi dan misi sekolah dalam bidang kokurikulum tertera di tempat-tempat yang strategik.
2.    Tertera slogan mengenai kepentingan kokurikulum.
3.    Sekolah mempunyai perancangan jangka pendek dan perancangan jangka panjang pelaksanaan kokurikulum.
4.    Sekolah mempunyai organisasi pengurusan pelaksanaan kokurikulum.
5.    Sekolah mempunyai atau terbukti berusaha untuk menyediakan prasarana dan perkakasan serta peralatan untuk melaksanakan aktiviti kokurikulum.
6.    Sekolah mempunyai atau terbukti berusaha untuk memperoleh bahan-bahan sumber atau rujukan untuk pelaksanaan kokurikulum.
7.    Sekolah mempunyai guru yang banyak terlatih atau terbukti berusaha untuk melahirkan guru yang terlatih dalam bidang kokurikulum.
8.    Sekolah mempunyai jadual aktiviti kokurikulum tahunan (JAKTI). Jadual disebarkan kepada guru, murid dan ibu bapa.
9.    Setiap guru menerima tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam bidang kokurikulum secara bertulis. Tugas dan tanggungjawab ini mestilah jelas, spesifik, adil dan kuantitatif serta ada unsur-unsur yang menguji kepatuhan, kesungguhan dan kebertanggungjawaban serta yang mencabar profesionalisme guru.
10.  Sekolah menubuhkan badan beruniform, persatuan/kelab dan kelab sukan dan permainan yang sepadan dengan jumlah enrolmen dan kepelbagaian murid.
11.  Sekolah menubuhkan “Jawatankuasa Bimbingan Pelajar Sekolah” seperti yang dimaksudkan oleh SPI Bil 1/1985 dan “Jawatankuasa Sekolah Sebagai Institusi Masyarakat” seperti yang dimaksudkan oleh SPI Bil 4/1985.
12.  Fail-fail penubuhan dan pengurusan setiap entity kokurikulum yang ditubuhkan aktif dan kemas kini.
13.  Setiap murid menyertai aktiviti kokurikulum, seperrti yang ditetapkan dan masing-masing mempunyai rekod penyertaan, penglibatan dan pencapaian dalam bidang kokurikulum yang disertai itu.
14.  Setiap murid diberi penilaian prestasi tahunan atas kehadiran, perjawatan, penglibatan dan pencapaian mereka dalam bidang kokurikulum berdasarkan skema penilaian yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
15.  Sekolah mewujudkan dan mengemas kini pangkalan data mengenai pencapaian sekolah dan murid dalam bidang kokurikulum pada setiap tahun.
16.  Sekolah menyediakan insentif atau skema galakan ataupun anugerah kepada murid yang cemerlang dalam bidang kokurikulum serta kepada guru atau individu yang member sumbangan cemerlang kepada aktiviti kokurikulum sekolah.
17.  Sekolah Berjaya merealisasikan konsep “Sekolah Berwatak”.
18.  Wujud peningkatan pencapaian sekolah dalam bidang kokurikulum berdasarkan kaedah penilaian “Standard Tinggi Kualiti Pendidikan”(STKP).
19.  Terdapat sepasukan murid atau individu murid yang mencapai kejayaan yang cemerlang di peringkat nasional dan antarabangsa.
20.  Sekolah meriah dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan.
21.  Kadar kemenjadian murid meningkat, iaitu:
                      i.        Kes disiplin berkurangan;
                     ii.        Kehadiran ke sekolah meningkat;
                    iii.        Murid jadi cergas dan ceria;
                   iv.        Kualiti dan kuantiti murid dari aspek budi pekerti dan budi bahasa meningkat;
                    v.        Kes pergaduhan berasaskan perbezaan etnik, sosioekonomi dan gender berkurangan;
                   vi.        Prestasi akademik murid meningkat.
22.  Wujud kerjasama yang erat dan produktif antara pihak sekolah dengan masyarakat, pemimpin tempatan, pihak berkuasa tempatan, jabatan kerajaan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta.
23.  Murid, guru, ibu bapa dan anggota masyarakat yang lain menyayangi sekolah.
24.  Guru dan murid berpandangan dan bersikap positif terhadap aktiviti kokurikulum.
25.  Sokongan dan sambutan ibu bapa terhadap aktiviti kokurikulum yang dianjurkan seperti pertandingan, perkhemahan dan aktiviti gotong royong semakin memberangsangkan.

No comments:

Post a Comment